Ada beberapa ulama menyangka bahawa pernah diriwayatkan dari Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma bahawasanya beliau berwasiat apabila beliau wafat (meninggal dunia) supaya dibacakan di atas kuburnya surah al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah al-Baqarah. Athar dari Ibn ‘Umar inilah antara yang dijadikan hujjah oleh mereka yang menghalalkan perbuatan menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah (al-Quran) atau bacaan bertahlil untuk arwah orang-orang yang telah mati.
Menurut penelitian para ulama hadis dan kalangan ulama Ahli sunnah wal Jamaah, ternyata athar dari Ibn ‘Umar ini adalah batil kerana bertentangan dengan amalan para sahabat radiallahu ‘anhum. Athar ini juga didapati terlalu lemah dan syaaz (bertentangan dengan hadis sahih), maka athar ini tidak dapat diterima untuk dijadikan hujjah, menghalalkan amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran untuk arwah dan bertahlil beramai-ramai untuk orang mati sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Islam sejak sekian lama.
Riwayat ini juga tidak pernah diterima walaupun oleh seorang sahabat dan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana keterangan di bawah ini:
“Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibn ‘Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat.”[1]
Share on Facebook
































